Batu Pahat: Seorang pekerja ladang maut apabila motosikal ditunggang bertembung sebuah van di Jalan Kampung Parit Tengah, Rengit, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, Mohamad Nazrin Iskandar, 24, disahkan meninggal dunia selepas parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila van yang dipandu seorang lelaki dalam perjalanan dari Bandar Rengit ke Rejo Sari bertembung motosikal mangsa.

Katanya, hentaman kuat mengakibatkan mangsa tercampak ke parit berhampiran lokasi kejadian.

“Mangsa tercampak ke parit dan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 10:03 AM