PENJAGA stor maut selepas motosikalnya melanggar lori rosak di Lebuhraya ELITE.
PENJAGA stor maut selepas motosikalnya melanggar lori rosak di Lebuhraya ELITE.

Shah Alam: Akibat tidak sempat mengelak sebuah lori rosak yang diletakkan di lorong kecemasan, seorang pekerja stor pusat beli-belah perabot menemui ajal selepas merempuh kenderaan berat berkenaan, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, Mohd Mulyadi Tauhid, 34, dikatakan menunggang motosikal bersendirian dari arah Subang Jaya menuju ke Shah Alam melalui Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) berhampiran sebuah universiti swasta.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Deputi Superintendan Goh Lee Shen berkata, difahamkan sebelum kejadian sebuah lori mengalami kerosakan kerana satu daripada tayarnya pecah.

“Lori berkenaan yang dari Subang Jaya menghala ke Shah Alam mengalami kerosakan pada bahagian tayar ketika tiba di lokasi kejadian menyebabkan pemandu terpaksa menghentikan kenderaan itu.

“Ketika membaiki dan menunggu bantuan tiba, lori itu diparkir di lorong kecemasan. Namun mangsa yang berasal dari FELDA Redong Satu, Labis, Johor dipercayai tidak perasan kehadiran lori berkenaan hingga gagal mengelak.

“Akibatnya dia merempuh bahagian belakang lori berkenaan dan kesan daripada perlanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa kecederaan di bahagian badan,” katanya.

Menurut beliau, pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia sebelum sempat diberikan rawatan awal akibat kecederaan parah di kepala.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk bedah siasat.

“Kami cuba menghubungi waris mangsa untuk tujuan pengebumian,” katanya.

Kejadian ketika orang ramai mahu keluar bekerja itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di laluan terbabit sepanjang kira-kira lima kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 10:51 AM