NAJIB bersama Dr Subramaniam (tiga dari kiri) dan Noor Hisham (kanan) ketika Majlis Ulang Tahun Peringatan MMA ke-55, semalam.
NAJIB bersama Dr Subramaniam (tiga dari kiri) dan Noor Hisham (kanan) ketika Majlis Ulang Tahun Peringatan MMA ke-55, semalam.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada industri penjagaan kesihatan dan perubatan di negara bagi membolehkan industri berkenaan berdaya saing dalam sektor pelancongan kesihatan dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau mahu industri dan pasaran sektor berkenaan diperkukuhkan malah, kerajaan akan bekerjasama dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bagi mencapai tujuan itu.

Beliau berkata, jika mahu dibandingkan dengan negara jiran, industri penjagaan kesihatan dan perubatan negara masih ketinggalan, justeru, usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan daya saing dalam industri berkenaan.

“Awal tahun ini, sistem penjagaan kesihatan negara diiktiraf dunia menerusi satu kajian dijalankan syarikat penerbitan Amerika Syarikat dan Malaysia berada dalam kalangan 25 negara terbaik.

“Pencapaian itu mengatasi beberapa negara Eropah termasuk Sepanyol; Perancis; Ireland dan New Zealand. Pengiktirafan itu sekali gus membuktikan kepakaran perubatan di negara ini setanding dengan negara luar malah, ada ketikanya kita terbaik dalam kalangan beberapa negara barat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penerbitan Buku Ulang Tahun Peringatan MMA ke-55, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam; Ketua Setiausaha Kementerian Tan Sri Farida Mohd Ali, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Presiden MMA Dr Ashok Zachariah Philip.

Katanya, kerajaan turut menyasarkan ketibaan 930,000 pelancong kesihatan ke Malaysia tahun ini yang dijangka menjana pendapatan sekitar RM1 bilion.

Najib berkata, sejak empat tahun lalu, pasaran pelancongan kesihatan di negara ini meningkat dua kali ganda di mana seramai 770,000 pelancong kesihatan direkodkan tahun lalu dengan pendapatan RM700 juta.

Menurutnya, negara harus berbangga dengan pencapaian itu kerana ia bukan satu pencapaian yang kecil.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada MMA kerana berjaya membawa sistem penjagaan kesihatan dan perubatan negara pada tahap ini.

“Masyarakat seluruh dunia kini sudah yakin dengan kualiti doktor dan hospital yang dimiliki negara, sekali gus membantu Malaysia menuju ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, MMA pada dasarnya mempunyai hubungan baik dengan kerajaan terutama Kementerian Kesihatan.

Malah, katanya, hubungan berkenaan bertujuan berkongsi tanggungjawab untuk memastikan penyediaan kemudahan kesihatan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 10:42 AM