Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: PAS mengarahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu mempertahankan Kerajaan Selangor dan menyokong Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Iskandar Abdul Samad sudah diarahkan supaya memastikan semua ADUN parti itu terus bersama Mohamed Azmin bagi mengekalkan kerajaan negeri.

“PAS Pusat sudah pun memberikan arahan kepada Iskandar yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya seluruh ADUN PAS terus bersama Menteri Besar Selangor bagi meneruskan khidmat kepada rakyat seterusnya mengekalkan kedudukan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sebelum ini ura-ura kerajaan negeri itu bakal tumbang selepas DAP mengumumkan pakatan pembangkang sudah tidak wujud lagi.

Selain itu, ada pihak berpendapat kononnya PAS akan disingkirkan dari kerajaan negeri manakala sebagai gantinya pakatan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan dibentuk untuk meneruskan pemerintahan di negeri itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 8:09 AM