TUANKU Syed Faizuddin menurunkan tandatangan perasmian Masjid Al-Munawwarah.
TUANKU Syed Faizuddin menurunkan tandatangan perasmian Masjid Al-Munawwarah.
Oleh Aizat Sharif


Kangar : Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengagihkan bantuan bernilai RM2,463,800 bagi meringankan beban golongan kurang bernasib baik di negeri ini sepanjang Ramadan ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam titahnya melahirkan kesyukuran kerana penyumbang zakat di negeri ini berjaya merealisasikan pelbagai bentuk bantuan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

“Agihan itu menjurus kepada peruntukan tahunan kepada 15 institusi pendidikan Islam di Perlis berjumlah RM1.8 juta dan aktiviti Ramadan di 105 masjid di seluruh negeri berjumlah RM525,000,”” titahnya ketika merasmikan Masjid Al-Munawwarah dan agihan sumbangan Aidilfitri (MAIPs) kepada amil di Kampung Sungai Bugis, Simpang Empat, kelmarin.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, selain agihan bantuan itu, MAIPs menyalurkan sebanyak RM70,000 sebagai sumbangan raya kepada saudara baru yang memeluk Islam serta RM68,000 kepada pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke Asia Barat, Julai depan.

Menurutnya, berikutan itu masyarakat digesa memperbaiki diri dengan mempertingkatkan hubungan ukhuwah sesama masyarakat serta Allah.

“Selain itu, jauhilah fitnah dan adu domba yang boleh menimbulkan perbalahan yang bakal merugikan masyarakat Islam pada Ramadan yang mulia ini,” titahnya.

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat menghadiri majlis perasmian itu.

Baginda turut berkenan merasmikan perpustakaan mini masjid sumbangan Perpustakaan Negara cawangan Perlis dan menyampaikan sijil penyertaan kepada 49 wakil Majlis Agama Islam Wilayah Andaman Thailand yang mengikuti kursus pengurusan zakat di Kangar kelolaan MAIPs serta sumbangan Aidilfitri kepada 105 amil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 7:53 AM