Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: PAS kekal bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, hubungan kedua-dua parti itu tidak pernah putus sejak penubuhan pakatan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kerjasama politik dengan DAP tidak dapat bertahan untuk kali kedua selepas parti dominasi kaum Cina itu pernah keluar daripada pakatan pembangkang pada 2001.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan DAP supaya menumpukan serangan kepada UMNO bukan kepada PAS.

“PAS tetap kesal dengan serangan berterusan DAP terhadap Presiden parti (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan fitnah bahawa PAS mahu mengadakan kerjasama politik dengan UMNO,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, semalam.

Rabu lalu, Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengisytiharkan bahawa pakatan pembangkang sudah tidak wujud lagi.

Situasi itu berikutan tindakan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang mengumumkan penamatan riwayat pakatan berkenaan.

Usul Dewan Ulama PAS yang diterima tanpa bahas pada Muktamar Tahunan ke-61 parti itu, baru-baru ini mahu kerjasama dengan DAP ditamatkan diterima tanpa bahas juga dikatakan punca tiada lagi pakatan dalam pembangkang.

Mengenai hubungan PAS-DAP, Tuan Ibrahim berharap kerjasama kedua-dua parti lebih panjang sekiranya mereka berpakat lagi pada masa akan datang.

“Kerjasama politik DAP dengan PAS akhirnya tidak dapat bertahan jua buat kali kedua. Dari sudut positifnya, hubungan PAS-DAP kali ini berlangsung lebih lama berbanding pada zaman dalam barisan alternatif selepas berehat selama 7 tahun (2001-2008),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 9:16 AM