Petaling Jaya: Kenaikan harga beberapa barang basah sejak minggu lalu dan lebih ketara menjelang Ramadan.

Antara rungutan yang disuarakan mengenai kenaikan harga ayam daging daripada RM7.50 sekilogram kepada RM8.50 sekilogram yang dianggap tinggi.

Tinjauan Harian Metro di pasar basah Jalan Othman, di sini semalam mendapati semua peniaga menggunakan harga baru itu selepas mendakwa pemborong menaikkan harga.

Pelanggan, Suriani Suhaimi, 33, berkata, harga barangan basah yang meningkat setiap kali menjelang Ramadan dan Syawal dapat dijangka.

Menurutnya, dia tiada pilihan lain selain membeli barangan di pasar berkenaan kerana berhampiran rumahnya.

Peniaga Anuar Mat Amin, 49, berkata, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain menaikkan harga kerana pemborong menaikkan harga barangan itu.

“Mereka (pemborong) tidak memberikan kami (peniaga) pilihan lain kerana ini mata pencarian kami, kalau tidak menaikkan harga, bagaimana kami mendapatkan semula modal dan untung,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 12:03 PM