Kajang: Sekumpulan penjenayah dikenali sebagai ‘Geng Yahama’ dikesan mengganas melakukan rompakan bersiri di daerah ini dengan taktik mengepung dan mengacukan pisau ke arah mangsa.

Dalam kejadian terbaru jam 8 malam Jumaat lalu, seorang suri rumah nyaris terjatuh selepas motosikal ditunggang ditendang empat penjenayah terbabit berhampiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, mangsa berusia 42 tahun itu dalam perjalanan dari Kajang menuju ke Bandar Baru Bangi, di sini.

“Bagaimanapun setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa tiba-tiba ditendang seorang suspek dari belakang.

“Mangsa yang hampir terjatuh bagaimanapun sempat memberhentikan motosikal di bahu jalan. Keempat-empat suspek terus mengepung mangsa sebelum mengacu pisau ke arahnya,” katanya.

Menurutnya, suspek merampas beg tangan mangsa berisi RM1,500 dan beberapa dokumen penting termasuk Mykad.

“Kumpulan penjenayah sama dikesan menyamun seorang lelaki berusia 36 tahun di sebuah stesen minyak berhampiran Seksyen 16 Bandar Baru Bangi, di sini.

“Dalam kejadian kedua jam 11 malam Sabtu lalu, mangsa baru mengeluarkan RM1,000 dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di stesen minyak itu,” katanya.

Dia berkata, mangsa bagaimanapun diekori suspek sebelum ditahan di tengah jalan berhampiran rumahnya di Taman West Country, Bang, di sini.

“Suspek turut mengacu pisau ke arah mangsa sebelum mengarahkannya menyerahkan wang.

“Polis percaya suspek daripada kumpulan sama berdasarkan modus operandi digunakan dalam kes sebelum ini,” katanya.

Willey berkata, kumpulan ini dikesan sekali lagi melakukan rompakan membabitkan pekerja lelaki kedai serbaneka di Batu 11, Cheras di sini.

Dalam kejadian jam 9.50 malam Sabtu lalu itu, suspek menyerang pekerja kedai berusia 37 tahun sebelum melarikan wang dan telefon bimbit dianggarkan bernilai hampir RM2,000.

Katanya, hasil siasatan mendapati semua suspek menaiki motosikal model Yamaha 125Z yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 / 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.

“Usaha memburu semua suspek dijalankan dan orang ramai diminta berhati-hati terutama selepas mengeluarkan wang di mana-mana mesin ATM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 10:45 AM