Kuala Lumpur: Hanya 2.2 peratus atau kira-kira 660,000 daripada 30 juta rakyat negara ini tampil sebagai penderma darah dan ia lebih rendah berbanding 3.5 peratus hingga lima peratus jumlah yang dicatatkan penderma di negara maju.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, keadaan itu berpunca daripada sebilangan rakyat yang masih belum dapat mengikis persepsi negatif untuk menderma darah

“Secara purata, kita memerlukan hampir 2,000 beg darah untuk kegunaan 925 pesakit setiap hari, namun jumlah penderma darah masih boleh dipertingkatkan, mungkin sekurang-kurangnya 700,000 hingga 750,000 bagi membantu pesakit meneruskan kehidupan.

“Pada tahun lalu, sebanyak 675,315 beg darah dikutip dan diproses dari 118 pusat derma darah termasuk 175,260 di Pusat Darah Negara untuk kegunaan 337,807 pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2015 di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Datuk Dr Azman Abu Bakar dan Pengarah Pusat Darah Negara Dr Norhayati Abu Amin.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata, bagi menambah bekalan darah negara, rakyat perlu mengambil bahagian di semua kempen kesedaran yang diadakan meningkatkan kesedaran mengenai kebaikan menderma darah.

“Kadang-kadang orang ramai terlalu bimbang kononnya kalau mereka derma darah, ada berlaku kesan sampingan dan sebagainya.

“Tanggapan ini perlu dibuang kerana kementerian pastikan prosedur yang selamat sebelum, semasa dan selepas proses derma darah termasuk saringan sama ada mereka layak menderma atau tidak,” katanya.

Jelasnya, bekalan darah diperlukan untuk merawat pesakit yang memerlukan transfusi darah antaranya terdiri daripada pesakit Thalasaemia, demam denggi berdarah, kanser, mangsa kemalangan dan wanita bersalin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 8:30 AM