Pelukis seni khat (dari kiri) Ainun Jariah, Ahmad Rajaei dan Zulhelmi ketika ditemu ramah di Balai Berita, Bangsar, semalam.
Pelukis seni khat (dari kiri) Ainun Jariah, Ahmad Rajaei dan Zulhelmi ketika ditemu ramah di Balai Berita, Bangsar, semalam.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: “Saya terpanggil untuk memartabatkan seni penulisan khat di Malaysia selepas melihat kurangnya karya sedemikian di tanah air. Seni seumpama itu dimartabatkan selaras dengan industri seni lain,” kata Ahmad Rajaei Awang.

Ahmad Rajaei yang mempunyai pengalaman luas dalam penulisan khat memberitahu, idea itu tercetus pada 2003 selepas beliau berhasrat mengembangkan bakatnya dalam seni penulisan kaligrafi Islam.

Menurut anak jati Kuala Terengganu yang berusia 33 tahun ini, minatnya yang mendalam dalam seni penulisan khat menjadikannya bersungguh-sungguh mengembangkan seni warisan Islam itu sehingga ia menjadi antara punca pendapatannya.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, kurangnya pembabitan anak seni di Malaysia dalam tulisan khat sehingga peminat tulisan itu yang ingin mengumpul koleksi khat terpaksa membeli di luar negara menyebabkan dia ingin membangunkan seni kaligrafi Islam berkenaan.

“Saya menghasilkan tulisan kaligrafi khat ini menggunakan kanvas selain beberapa peralatan lain. Ia ada dijual daripada harga serendah RM600 hingga RM25,000 bergantung kepada panjang tulisan dan kerumitan menghasilkannya.

“Antara karya tulisan khat yang sering saya hasilkan ialah tulisan ayat al-Quran, zikir dan sajak,” katanya ketika ditemui di pameran 48 karya khat kumpulan Qalam Warisan di lobi bangunan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Jalan Riong, di sini, semalam.

Pameran yang berlangsung sejak 1 Jun dan berakhir pada 28 Jun ini turut mempamerkan karya penulis khat lain seperti Muhammad Zulhelmi Sobri dan Ainun Jariah Yaacob.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 11:10 AM