Pemuda Umno Bahagian Tebrau membuat laporan polis mengenai  persidangan agama Kristian yang  berlangsung di Berjaya Waterfront Hotel.
Pemuda Umno Bahagian Tebrau membuat laporan polis mengenai persidangan agama Kristian yang berlangsung di Berjaya Waterfront Hotel.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat dan Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim menitahkan sebuah pertubuhan yang menganjurkan majlis ritual keagamaan di negeri ini supaya tidak memecah-belahkan bangsa Johor dengan menyentuh isu agama yang dianggap sangat sensitif.

Tunku Ismail berkata, anasir luar gentar dengan bangsa Johor dan rakyat negeri ini yang sentiasa menghormati semua kaum selain berhak mengamalkan agama masing masing.

“Rakyat Johor jangan terlalu mudah terpengaruh kerana ini strategi pihak tertentu untuk pecah-belahkan bangsa Johor.

“Bagaimanapun, orang luar tidak patut mengganggu keharmonian bangsa Johor dengan menyentuh isu agama yang sememangnya sensitif.

“Tuanku (Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar) bertitah orang luar janganlah mengganggu keharmonian dan kesejahteraan Johor dan bangsa Johor hendaklah sentiasa bersatu,” katanya melalui kenyataan di Facebook (FB) Johor Southern Tigers.

Terdahulu, penyebaran sebuah video klip yang antara lain menyebut Johor For Jesus (Johor untuk Jesus), ‘I’m Waking Up the Giant of Asia Malaysian Church’ (Saya akan membangunkan Gereja Terbesar Asia di Malaysia), ‘Give Me Johor Bahru or I Die’ (Berikan saya Johor Bahru atau saya mati) mengundang reaksi kurang senang orang Islam di negeri ini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 8:23 AM