MUHYIDDIN  bersama  penerima watikah pelantikan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Pendidikan Tinggi Putrajaya serta Program Fakulti Ketua Pegawai Eksekutif  di Universiti Malaya, semalam.
MUHYIDDIN bersama penerima watikah pelantikan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Pendidikan Tinggi Putrajaya serta Program Fakulti Ketua Pegawai Eksekutif di Universiti Malaya, semalam.
Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melantik pakar berkaliber menganggotai Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Khas Pendidikan Tinggi Putrajaya.

Beliau berkata, pelantikan berkenaan bagi memantau dan menyelesaikan masalah pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) - PPPM (PT).

Kata beliau, jawatankuasa berkenaan bertanggungjawab sebagai pembuat keputusan dan penentu hala tuju strategik dalam pelaksanaan semua inisiatif pelan itu.

“Jawatankuasa Pemandu ini akan disokong oleh Jawatankuasa Teknikal yang memantau pelaksanaan inisiatif PPPM (PT), memudah cara proses penyelesaian masalah dan memajukannya kepada Jawatankuasa Pemandu.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Pendidikan Tinggi Putrajaya, PPPM-PT 2015-2025 di Universiti Malaya di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, penubuhan pasukan itu membuktikan komitmen kementerian dalam memastikan kejayaan pelaksanaan pelan pembangunan pendidikan terbabit.

Menurut beliau, semua inisiatif yang sudah dikenal pasti akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu tahun 2015, 2016 dan hingga 2020 dan 2021 hingga 2025.

Kata beliau, untuk fasa satu institusi pengajian tinggi (IPT) seharusnya sudah melaksanakan beberapa inisiatif seperti membangunkan kurikulum yang mencerminkan pembelajaran berdasarkan pengalaman.

“Bagaimanapun, untuk memacu pelaksanaan Fasa Satu pada tahun ini sebanyak lima inisiatif keutamaan tinggi dan 14 inisiatif utama akan dimulakan iaitu Program Transformasi Universiti, Formula Pembiayaan Baru, ‘Massive Open Online Course (MOOC)’, Transformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional serta Program Fakulti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO),” katanya.

Untuk Program Fakulti CEO, kata beliau, sebanyak 23 CEO bersetuju menyertai program berkenaan dan sembilan watikah pelantikan sudah disampaikan semasa pelancaran PPPM (PT) sebelum ini.

Sementara untuk Program Transfomarsi Universiti, kata beliau lagi, beberapa ‘playbooks’ akan disediakan untuk mengkodkan amalan terbaik berdasarkan penanda aras dan pengalaman dari dalam serta luar negara.

“Kementerian memerlukan pandangan dan sumber kepakaran daripada pihak-pihak berkepentingan dalam tempoh tiga bulan pertama ini yang amat kritikal bagi memastikan momentum pelaksanaan diteruskan tahun depan,” kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 9:40 AM