KHAIRY (tengah)  bersama jentera Pemuda UMNO ketika hadir pada Sukan Rakyat di Bandar Bukit Ibam.
KHAIRY (tengah) bersama jentera Pemuda UMNO ketika hadir pada Sukan Rakyat di Bandar Bukit Ibam.
Syazwan Msar dan Zul Ikhwan Muhammad

Rompin: Pembangunan dan kemajuan dicapai negara selama ini hasil usaha kepemimpinan Barisan Nasional (BN) perlu dijadikan garis panduan kepada pengundi muda bagi menentukan hala tuju mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, Selasa ini.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata, jika golongan muda di Parlimen Rompin mengundi mengikut emosi semata-mata, ia boleh menjejaskan masa depan mereka.

“Jangan kita sanggup gadaikan perjuangan dan pembangunan di mana akhirnya (pengundi) mendapat seorang pemimpin yang bukan mewakili kerajaan selain tidak mampu membawa sebarang perubahan.

“(Calon BN) Datuk Hasan Arifin bukan seorang pemimpin yang baru dalam politik, tetapi sudah menimba pengalaman, beliau mampu menyelesaikan masalah jika dipilih,” katanya ketika berucap dalam lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Ibam dekat sini, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam Datuk Wan Kadri Wan Mahusain.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, sokongan golongan muda di Parlimen Rompin kepada BN masih kuat walaupun pembangkang cuba menimbulkan kebencian dengan membangkitkan pelbagai isu.

“Bagaimanapun, kita perlu tingkatkan usaha dan saya harap penjelasan diberikan antaranya berkaitan isu membabitkan orang muda di tanah rancangan Felda seperti perumahan generasi kedua diberikan agensi itu,” katanya.

Menurutnya, kempen Pemuda UMNO pada peringkat permulaan memang agak perlahan tetapi kini sudah mendapat rentak dan akan terus diperhebatkan menjelang hari mengundi, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 9:17 AM