ANGGOTA penguat kuasa JPJ menahan seorang lelaki  kerana memiliki lesen palsu di Operasi Bersepadu   di Plaza Tol Batu 3 menghala ke Kuala Lumpur.
ANGGOTA penguat kuasa JPJ menahan seorang lelaki kerana memiliki lesen palsu di Operasi Bersepadu di Plaza Tol Batu 3 menghala ke Kuala Lumpur.

Shah Alam: Seorang lelaki berusia 25 tahun sanggup membayar RM1,600 kepada sindiket ‘lesen terbang’ bagi mendapatkan lesen dengan cara mudah tanpa perlu melalui ujian memandu seperti yang ditetapkan undang-undang.

Difahamkan, lelaki berkenaan dibantu rakannya untuk mendapatkan lesen palsu berkenaan, malah ia siap dalam tempoh tiga hari saja.

Bagaimanapun, tembelang lelaki itu yang mendapat lesen terbabit beberapa bulan lalu terbongkar dalam Ops Bersepadu yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Plaza Tol Batu 3, di sini, malam kelmarin.

Lelaki itu mendakwa dia tidak mengetahui lesen berkenaan palsu meskipun tidak melalui ujian memandu.

Pengarah JPJ Selangor V Valluvan berkata, lelaki itu antara 430 pengguna jalan raya yang diperiksa dalam operasi yang bermula jam 8 hingga 12 tengah malam itu.

“Selepas diteliti kami mendapati lesen pemandu ini adalah palsu. Dia tidak boleh menipu JPJ kerana kami mempunyai maklumat yang lengkap.

“Kami akan menyiasat kes ini dan kemungkinan ia membabitkan sindiket ‘lesen terbang’. Kenderaan lelaki terbabit disita dan tindakan lanjut akan diambil ke atasnya,” katanya pada sidang media sejurus operasi berkenaan, kelmarin.

Beliau berkata, operasi itu bertujuan menimbulkan kesedaran orang ramai berhubung keselamatan jalan raya selain mengesan kenderaan klon yang dilihat semakin berleluasa ketika ini.

Operasi yang membabitkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu turut mengesan sebuah kenderaan klon.

Valluvan berkata, pihaknya mengeluarkan 125 saman terhadap 73 kenderaan membabitkan pelbagai kesalahan trafik seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh serta kesalahan ubah suai kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 6:55 AM