MUHYIDDIN menyampaikan sijil kepada Chian Lai sambil disaksikan Mahfar.
MUHYIDDIN menyampaikan sijil kepada Chian Lai sambil disaksikan Mahfar.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Pakar bidang sastera tempatan disaran melakukan penyelidikan saintifik terhadap karya kesusasteraan Melayu sebagai mencontohi penerbitan jurnal ‘Scientific Study of Literature’ yang kini menjadi rujukan penting pengamal sastera di barat.

Saranan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Penulisan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) - Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)-Berita Harian (BH) di sini semalam.

Muhyiddin berkata, beliau mahu penyelidikan saintifik itu dilakukan dalam tempoh lima tahun ini dan ia boleh dimulakan menerusi karya penting dihasilkan Sasterawan Negara.

Menurutnya, beliau percaya hasil kajian itu bukan sahaja mengetengah dan membuktikan impak positif kepada tamadun manusia, sebaliknya ia secara langsung dapat memberikan impak kepada perkembangan ekonomi, sosial dan politik negara.

“Saya sarankan supaya perkara (penyelidikan saintifik) ini diberikan perhatian. Pada masa sama, kerajaan juga sedia mendengar sebarang cadangan untuk melihat bagaimana ia boleh segera dilaksanakan,” katanya.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof; Pengerusi ITBM Datuk Dr Sharuddin Md Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif ITBM Mohd Khair Ngadiron; Presiden PENA Dr Mohamad Saleeh Rahamad dan Pengarang Kumpulan BH Datuk Mahfar Ali.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan pemberian peruntukan RM5 juta ITBM bagi menjalankan program untuk memastikan kelangsungan penerbitan karya asli ITBM; penganjuran program bagi mengembangkan bakat penulis dan penganjuran kali ketiga Sayembara Penulisan.

Menurutnya, peruntukan diberikan itu sebagai komitmen berterusan kerajaan bagi merangsang dan menyemarakkan sastera kebangsaan.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan dalam Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH membabitkan kategori novel; cerita pendek (cerpen) dan puisi yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM130,000.

Bagi kategori penulisan novel, pemenang tempat pertama disandang oleh Jong Chian Lai, 55, menerusi karya bertajuk Ah Fook manakala, kategori cerpen pula dimenangi oleh Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul Razy, 31, menerusi cerpen bertajuk Pascasejarah.

Sementara itu, Chian Lai yang kini berkhidmat sebagai Pembantu Hal Ehwal Ekonomi di Lembaga Lada Malaysia, Sarawak berkata, dia terkejut kerana ia kemenangan paling berprestij diperolehnya sepanjang terbabit dalam penulisan novel sejak 35 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 9:41 AM