SEBAHAGIAN kru MAS yang tamat latihan pada majlis graduasi di Kompleks MAS, Kelana Jaya, semalam.
SEBAHAGIAN kru MAS yang tamat latihan pada majlis graduasi di Kompleks MAS, Kelana Jaya, semalam.

Petaling Jaya: Seramai 63 pelatih kru kabin Malaysia Airlines (MAS) yang menamatkan kursus bergelar juruterbang dan pramugari menerima sijil pada Majlis Graduasi yang diadakan di Akademi MAS Kelana Jaya, di sini, semalam.

Sijil tamat kursus diserahkan kepada 22 kadet juruterbang manakala 41 lagi kepada pramugari MAS dan Firefly.

Kadet juruterbang Muhammad Faiq Ab Aziz, 26, meluahkan kegembiraan kerana cita-citanya tercapai selepas hampir enam tahun menunggu peluang bergelar juruterbang profesional selepas tamat pengajian di sekolah penerbangan.

“Saya puas pada hari ini kerana impian menjadi juruterbang akhirnya tercapai selepas pelbagai liku dihadapi sepanjang tempoh itu kerana pelbagai pekerjaan dilakukan sebaik tamat pengajian pada 2006.

“Saya berterima kasih kepada ibu bapa yang banyak memberi sokongan. Saya juga berhasrat membawa emak dan ayah menaiki pesawat dikendalikan saya satu hari nanti,” katanya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.

Pramugari MAS, Tun Izlya Natasya Tun Izhar, 19, pula tidak sabar untuk memulakan tugas pertamanya pada Sabtu ini biarpun perasaan kini bercampur takut dan gementar.

“Syukur papa dan mama banyak bagi sokongan terhadap cita-cita saya biarpun tahu risiko bakal dihadapi.

“Saya akan buat yang terbaik iaitu menjadi kru kabin yang bertanggungjawab kepada anak kapal dan penumpang,” kata anak pertama daripada empat beradik.

Hadir sama pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Johari Yahya, Pengarah Operasi MAS Kapten Izham Ismail dan Ketua Operasi Penerbangan MAS Kapten Kamarudin Kamilin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 10:08 AM