Johor Bahru: Sekumpulan penyamun warga asing yang disifatkan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff sebagai kumpulan berbahaya berjaya ditumpaskan selepas 19 orang termasuk tiga wanita ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram di sini, Rabu lalu.

Modus operandi kumpulan itu mereka akan memecah masuk kediaman mangsanya sebelum bertindak mengikatnya.

Mereka juga bertindak mencederakan mangsanya dengan membelasahnya sebelum melarikan pelbagai barangan.

Mohd Mokhtar berkata, semua suspek itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi selepas gerakan mengesannya dijalankan berikutan beberapa kejadian samun yang berlaku di sekitar Wilayah Pembangunan Iskandar.

Menurutnya, kumpulan berkenaan juga dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian samun lain di sekitar Kota Tinggi dan Mersing sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, mereka juga disyaki terbabit dalam 48 kes samun sebelum ini, tetapi siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Semua penjenayah yang ditahan berkenaan berusia antara 25 hingga 45 tahun serta berasal dari Indonesia.

“Siasatan awal mendapati mereka berada di negara ini tanpa mempunyai sebarang dokumen sah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Hasnan Hassan di sini, semalam.

Menurutnya, hasil penahanan kumpulan berkenaan turut membawa kepada penemuan 128 unit telefon bimbit, 15 komputer riba, tujuh unit iPad, 10 unit kamera pelbagai jenis dan juga 16 jam tangan pelbagai jenama.

“Kita percaya kediaman berkenaan dipercayai menjadi tempat penyimpanan hasil samun mereka kerana semuanya disimpan di satu tempat.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk untuk mengenal pasti serta mengesan saki baki kumpulan itu yang masih bebas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 10:20 AM