MUHYIDDIN (tengah)  beramah mesra bersama guru selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pasca Banjir kepada Warga Pendidik Kementerian Pendidikan Malaysia di Menara Parlimen.
MUHYIDDIN (tengah) beramah mesra bersama guru selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pasca Banjir kepada Warga Pendidik Kementerian Pendidikan Malaysia di Menara Parlimen.

Kuala Lumpur: Tabung Bantuan Bencana yang dilancarkan Kementerian Pendidikan pada 5 Januari lalu, berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM1,004,397 juta untuk membantu 15,868 mangsa banjir terdiri daripada warga kementerian.

Mangsa banjir berkenaan membabitkan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), guru serta Anggota Khidmat Pelaksana (AKP) yang berkhidmat di 839 sekolah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak.

Penyerahan bantuan kepada mangsa diserahkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen, di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, objektif tabung bencana itu dilancarkan adalah untuk memberi bantuan sumbangan kewangan kepada pegawai Jabatan Pendidikan, PPD, guru serta AKP yang menjadi mangsa banjir.

Katanya, peruntukan diagihkan kepada mangsa banjir kategori sangat kritikal dengan jumlah RM500 seorang manakala agihan peruntukan bagi kategori sederhana kritikal diserahkan kepada Jabatan Pendidikan untuk diagihkan kepada sekolah terbabit banjir.

“Jumlah agihan peruntukan mengikut Jabatan Pendidikan ialah RM559,500 untuk Kelantan, RM160,000 kepada Terengganu, RM71,500 kepada Pahang, RM64,000 kepada Sabah manakala Perak dan Sarawak masing-masing menerima RM24,000,” katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan replika cek bantuan pasca banjir kepada pengarah serta wakil Jabatan Pendidikan termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak.

Hadir sama Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Mary Yap Kain Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kementerian berharap supaya bantuan terbabit dapat mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung mangsa banjir.

“Sumbangan yang diberi semua pihak berkaitan membuktikan tanda keprihatinan dan kasih warga pendidik atas kesulitan yang dialami oleh mangsa banjir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:56 AM