Kluang: Perasaan rindu seorang bapa untuk bertemu anak bongsunya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori sampah yang diparkir di tepi jalan di Taman Seri Lambak di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.40 pagi itu, mangsa, Ibrahim Gundat, 56, pesara tentera dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Batu 4, Jalan Mersing di sini, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan.

Anak mangsa, Mohd Nazarudin,19, berkata, kali terakhir dia bertemu ayahnya itu ketika pulang bercuti sempena Tahun Baru Cina baru-baru ini dan tidak dapat pulang pada hujung minggu lalu disebabkan kerja kursus yang banyak.

“Emak ada hantar mesej, bertanyakan kepada saya kenapa tidak balik pada hujung minggu lalu sebab ayah amat rindukan saya.

“Tak sangka pula rindu ayah pada saya dibawa hingga ke akhir hayatnya,” katanya yang belajar di sebuah kolej di Pagoh, Muar.

Menurutnya, berita kematian ayahnya diterima ketika mahu memulakan kelas selepas diberitahu rakannya.

Katanya, kakaknya ada menghubungi sebelum itu tetapi tidak sempat dijawab panggilan itu kerana kelas sudah mahu bermula,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Lambak di sini, semalam.

Mohd Nazarudin yang juga anak bongsu daripada empat beradik turut kesal kerana kematian ayahnya itu adalah disebabkan orang lain yang parkir kenderaan besar seperti lori sampah di tepi jalan di tempat gelap tanpa sebarang tanda amaran.

“Kerana perbuatan orang lain, ayah sayajadi mangsa. Sepatutnya lori sampah itu tidak boleh diparkir seperti itu kerana membabitkan hampir separuh daripada satu lorong laluan ke bandar terhalang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Roze Shaary berkata, kejadian kejadian, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya sebelum merempuh belakang lori sampah milik SWM Environment Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:43 AM