SULTAN Ibrahim berkenan mengurniakan pingat kepada Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil.
SULTAN Ibrahim berkenan mengurniakan pingat kepada Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil.

Oleh Junita Mat Rasid

[email protected]

Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menganugerahkan Pangkat Yang Pertama Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia kepada puteri tunggal serta tiga putera baginda.

Anugerah itu disampaikan kepada Tunku Tun Aminah, Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Sultan Ibrahim turut berkenan menganugerahkan darjah sama kepada isteri Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Iskandar iaitu Che Puan Khaleeda Bustamam di Istana Bukit Serene di sini, semalam.

Turut berangkat ke majlis penganugerahan itu isteri Sultan Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin, Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Nooh Gadut, Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Datuk Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Johor Ismail Karim.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima pedang kerajaan yang dipersembahkan oleh Mohamed Khaled untuk digunakan pada Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor pada 23 Mac ini.

Sejurus selesai majlis itu, Sultan Ibrahim berkenan mencuba persalinan yang akan dipakai pada istiadat berkenaan yang dihasilkan oleh pereka fesyen tempatan Datuk Jack MK Lee.

Pakaian itu yang dilengkapi dengan sulaman dijahit menggunakan benang emas dihasilkan dalam tempoh tiga bulan menggunakan kain benang bulu jenis ‘barathea’ hasil rekaan baginda sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:35 AM