Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Ruang udara Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Matsirat, di sini, semalam, mula digegarkan dengan deruman enjin pesawat pejuang negara yang mengadakan latihan bagi pertunjukan udara sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA’15).

Walaupun pameran dwi-tahunan itu berlangsung secara rasmi pada Selasa ini, namun kehangatan semakin dirasai apabila sekumpulan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat lintasan menggunakan lima pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM dan dua pesawat F/A-18 Hornets.

Mereka mempamerkan beberapa formasi menarik di udara khusus untuk pertunjukan aerobatik selain berlatih bagi memantapkan skil penerbangan dan meningkatkan keupayaan menjaga ruang angkasa negara.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati beberapa pesawat turut tiba, di sini, semalam, antaranya pesawat pengangkut yang baru dibeli TUDM iaitu Airbus A400M.

Kakitangan syarikat pelupusan sisa pepejal dan pembersihan awam Environment-Idaman Sdn Bhd pula sibuk melakukan kerja 24 jam untuk memastikan pulau peranginan itu sentiasa ceria dan bersih sepanjang LIMA’15.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Isahak Murat berkata, pihaknya dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi turut mewujudkan pasukan pemantau khas dalam aspek kebersihan pada LIMA’15.

“Sepanjang LIMA’15 berlangsung, aktiviti memungut sampah dilakukan tiga kali sehari manakala 60 pemantau khas yang dilantik untuk mengambil tindakan segera jika ada aduan berkaitan kebersihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 8:24 AM