DR Ahmad Zahid bersama Awang (tengah) yang mengadakan kunjungan di Kementerian Dalam Negeri, semalam.
DR Ahmad Zahid bersama Awang (tengah) yang mengadakan kunjungan di Kementerian Dalam Negeri, semalam.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Hanya tindakan keganasan sahaja tertakluk di bawah Undang-Undang Pencegahan Keganasan manakala perbezaan pendapat terutama politik tidak terangkum dalam undang-undang berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, undang-undang itu bukan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), malah perkara berkaitan hak asasi manusia juga tidak perlu dikhuatiri dan dipertikaikan memandangkan ia menggunakan acuan seperti Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

“Selain itu, kuasa eksekutif Menteri Dalam Negeri juga tidak akan digunakan dalam kuota dan dalam hal ini, sebuah Lembaga Pencegahan Keganasan akan dibentuk menyerupai Badan Pencegahan Jenayah dan POCA.

“Justeru, kita berharap semua pihak terutama pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) khususnya yang berjuang kononnya untuk hak asasi manusia supaya tidak khuatir kerana kerajaan tidak menyalah guna dan tidak menyelewengkan secara tersurat atau tersirat terhadap pembentangan akta ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia Datuk Seri Awang Mohd Taha di pejabatnya, di sini, semalam.

Minggu lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) khusus untuk menangani ancaman keganasan seperti kumpulan militan Negara Islam (IS) akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat, bulan ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya akta berkenaan diwartakan iaitu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat serta Dewan Negara, polis serta Kementerian Dalam Negeri akan melaksanakan undang-undang itu semata-mata untuk menangani soal keganasan.

“Saya mohon semua golongan rakyat supaya memberi sokongan sepenuhnya kerana ancaman keganasan benar-benar dan sedang berlaku.

“Jadi langkah mesti dilakukan sepenuhnya apabila undang-undang ini nanti diwartakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, perpindahan banduan dari penjara di kedua-dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak kini boleh melalui Brunei selepas perkara berkenaan dipersetujui kerajaan negara itu secara rasmi pada 4 Mac lalu.

“Perpindahan banduan ini tanpa melalui prosedur biasa dan ia melegakan kita kerana sudah menunggu perkara ini begitu lama iaitu sejak 1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 7:57 AM