HARUN
HARUN
Oleh Wahi Aziz dan Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi

Parit Buntar: “Ayah memang menghidap asma sejak dari kecil lagi dan sejak 2013 penyakitnya itu kerap menyerangnya, namun tiada sebarang tanda penyakit ditunjukkan ayah sepanjang kami di Pulau Pinang,” kata Hakeem Sofi Al-Rashyid, 14, anak kepada pelakon dan pelawak terkenal tanah air, Harun Salim Bachik.

Bekas Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) itu meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas ketika singgah di Hentian Rehat & Rawat (R&R) Gunung Semanggol (Selatan), Perak, petang semalam.

Harun atau nama sebenarnya Haron Aminar Rashid Salim meninggal dunia pada usia 56 tahun.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, Harun disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan Pejabat Kesihan Gunung Semanggol jam 4.20 petang semalam.

Katanya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah berlaku.

Sementara itu Hakeem yang ditemui di rumah mayat Hospital Parit Buntar berkata, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri kenduri kahwin adik-beradik di Pulau Pinang sebelum berhenti di Hentian R&R Gunung Semanggol.

Menurutnya, ayahnya mengajaknya turun menemaninya ke tandas berikutan terasa penat.

Katanya, sebaik memasuki tandas di sebuah stesen minyak di R&R berkenaan, ayahnya mula tercungap-cungap sebelum tiba-tiba rebah di atas lantai tandas berkenaan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 8:02 AM