Oleh Wahi Aziz

Kuala Lumpur: “Soalnya di sini, bukan saya tidak boleh ditegur atau dikritik cuma apabila kritikan itu keluar daripada mulut orang yang saya kenal baik, itu yang buat saya agak geram dan membalasnya.”

Itu maklum balas pengacara Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa berhubung isu perbalahan di Instagram, baru-baru ini berikutan kritikan seorang jurusolek terhadap pakaiannya ketika mengacarakan Anugerah MeleTop Era (AME) 2015 pada 22 Februari lalu.

Menurut Neelofa, 26, selepas empat tahun bergiat dalam bidang hiburan dia bersikap terbuka untuk menerima teguran umum berhubung imej dan penampilannya.

Namun, katanya, tindakan individu itu mengkritik di sosial media membuatkan dia terkilan.

“Dia bukan tak kenal saya. Dia kenal keluarga saya dan kami pernah makan bersama. Malah, kami juga pernah bekerja sekali. Kenapa dia perlu mengkritik di sosial media, sekali gus mengeruhkan lagi keadaan?

“Saya percaya kalau dia kawan, dia boleh menegur pakaian saya menerusi mesej atau panggilan telefon. Sebab itu, saya hilang pertimbangan dan membalas kritikannya,” katanya ketika dihubungi di sini, petang semalam.

Kontroversi itu tercetus apabila gaun labuh berwarna merah pengacara itu disamakan dengan sotong oleh seorang jurusolek secara terbuka di sosial media selepas beberapa hari AME2015 berlangsung.

Susulan itu, Neelofa turut dihentam oleh golongan pembencinya atas dakwaan kononnya dia tidak bersikap terbuka dan tidak boleh menerima kritikan.

Terdahulu, pereka gaun itu, Fizi Woo dalam kenyataan medianya menyelar kritikan segelintir pihak terhadap pakaian itu dan menganggap mereka yang mencemuh itu tidak mempunyai pengetahuan mengenai fesyen.

Katanya, sebelum gaun itu diperagakan oleh Neelofa, dia terlebih dahulu mendapatkan pandangan pelbagai pakar fesyen dan ia diterima baik.

Kejadian membabitkan kritikan terhadap pakaian pengacara itu berulang lagi buat kali kedua tahun ini. Pada AME2014, pakaian jenis jumpsuit dan gaun labuh Neelofa dikutuk kerana mempunyai persamaan dengan kostum watak siri televisyen Power Rangers dan Dragonball.

Neelofa mengakui, dia sedia maklum dan menerima secara terbuka mengenai penerimaan orang ramai berhubung penampilannya.

Cuma, katanya, apabila teguran itu dilakukan secara keterlaluan oleh individu yang dikenali, ia menimbulkan reaksi kurang menyenangkan kepadanya.

“Saya sudah tetapkan dalam fikiran dan logik bahawa tentu ada yang suka dan tidak suka dengan pakaian saya. Itu perkara biasa. Walaupun saya lihat lebih 90 peratus pengikut suka dengan gaun itu, saya tetap terbuka apabila ada yang mengkritik.

“Cuma apabila kritikan itu tidak kena cara dan melampau, itu yang saya tak boleh terima. Kalau dia tegur dengan baik, tak ada sebab saya nak bertindak begitu. Kalau orang yang saya tak kenal hentam di sosial media saya tidak kisah pun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 9:26 AM