SHARIFFA Sabrina (enam dari kiri), Abdul Jalil,  Pengarang Urusan Niaga/ Gaya Hidup New Straits Times, Mustapha Kamil Mohd Janor, Mahfar, Mustapa, Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Badrulhisham Othman dan Othman selepas pertemuan di Balai Berita, semalam.
SHARIFFA Sabrina (enam dari kiri), Abdul Jalil, Pengarang Urusan Niaga/ Gaya Hidup New Straits Times, Mustapha Kamil Mohd Janor, Mahfar, Mustapa, Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Badrulhisham Othman dan Othman selepas pertemuan di Balai Berita, semalam.

Kuala Lumpur: Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) Malaysia, menggesa satu polisi baru digubal supaya aktiviti pembalakan dapat dikawal sekali gus dapat menyelamatkan hutan simpan negara ini daripada terus diterokai.

Kegiatan pembalakan berleluasa ini melahirkan kebimbangan banyak pihak apabila dilakukan tanpa ada kawalan serta penguatkuasaan serius daripada pihak berwajib.

Presidennya, Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, apabila aktiviti ini dijalankan tanpa ada pemantauan, sudah pasti ia mengundang kemusnahan alam sekitar dan beberapa masalah lain.

“Pembuat dasar perlu membuat sesuatu dengan menukar akta sedia ada kepada akta baru yang lebih serius bagi membendung aktiviti ini dari terus dilakukan tanpa kawalan.

“Jika kegiatan ini terus dibiarkan, kita akan kehilangan hutan simpan serta berhadapan dengan kemusnahan habitat, ekosistem dan juga biodiversiti,” katanya pada sesi lawatan bertemu Pengurusan Kanan Editorial The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), di sini, semalam.

Hadir sama Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Datuk Abdul Jalil Hamid, Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM) Datuk Mustapa Omar, Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH) Datuk Mahfar Ali dan Pengarang Eksekutif Edisi Hujung Minggu dan Rencana HM Othman Mamat.

Menurutnya, apabila berlakunya bencana besar seperti banjir baru-baru ini, masyarakat mula sedar tentang kesan buruk akibat daripada aktiviti pembalakan yang tidak terkawal.

“Dalam masa tidak sampai 20 tahun, kita hilang banyak hutan simpan disebabkan aktiviti pembalakan yang tidak terkawal yang mana ia dengan rakusnya di ceroboh.

“Bagi menggantikan semula hutan yang diteroka akibat aktiviti pembalakan, PEKA sudah menanam semula 27,000 anak pokok sejak 2011,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 7:56 AM