Kuala Lumpur: Peniaga serta pengguna menyambut baik usaha kerajaan menurunkan harga jualan antara lima hingga 20 peratus bagi 73 barangan pertanian, basah serta kering di pasar tani di seluruh negara bermula semalam.

Puziana Md Zahari, 51, berkata, sebagai pengguna, dia gembira dengan keputusan itu kerana ia mengurangkan beban kewangan.

“Ia langkah baik, namun dalam masa sama, saya tidak boleh terus membeli barangan diperlukan daripada satu peniaga saja sebaliknya perlu berlegar di sekitar pasar tani untuk mendapatkan pilihan lebih baik.

“Ada kalanya saya tidak kisahkan harga barangan dijual seperti ayam, namun mengambil berat aspek kualiti ayam berkenaan,” katanya.

Puziana yang tinggal di Wangsa Melati ditemui di Pasar Tani Taman Melawati, Hulu Klang di sini, semalam pada program jualan turun harga pasar tani.

Pada masa sama, menurut Puziana, dia lebih gemar ke pasar tani kerana yakin kualiti kebersihan barangan dijual.

“Saya pernah ke pasar borong, namun was-was dengan kualiti sayuran dijual kerana peniaganya warga asing.

“Ada kalangan warga asing ini mengutip lebihan sayuran sebelum menjualnya. Lebih baik membeli sayuran dijual pada harga mahal sedikit daripada peniaga tempatan, namun kebersihannya terjamin,” katanya.

Bagi Eksekutif Pemasaran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Hazman Shaharuddin, 28, yang berniaga ayam proses di pasar tani berkenaan, beliau memaklumkan harga ayam itu lebih murah berbanding dengan yang dijual di luar pasar tani.

“Kami menjualnya pada harga RM6 sekilogram berbanding RM7.40 sekilogram bagi peniaga luar. Ia perbezaan besar dan bagi pengguna, lebihan wang berkenaan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan harian lain.

“Kami juga mendapatkan bekalan ayam daripada Pertubuhan Peladang (Peladang) dan tidak menggunakan orang tengah. Ia membolehkan kos dikurangkan seterusnya memberi lebih banyak faedah kepada pengguna,” katanya.

Menurut Hazman, pihaknya tidak kesah dengan penurunan harga barangan di pasar tani kerana mereka lebih pentingkan keselesaan pengguna.

“Jika pengguna selesa, mereka pasti akan datang lagi. Untung berkurangan namun ia bukan soal utama kerana tanpa pengguna, kita juga tidak akan dapat berniaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:15 AM