Machang: Meskipun ibu bapanya tidak sempurna seperti orang lain, anak-anak tidak pernah malu, malah menjadi idola terutama dalam menjaga hubungan suami isteri.

Dua anak pasangan orang kurang upaya (OKU) Hassan Che Ali, 65, dan Noriah Draman, 58, nekad menjaga ibu bapa mereka selagi hayat masih ada.

Anak lelaki pasangan itu, Ismail Hassan, 35, berkata, sebagai anak sulung menjadi tanggungjawabnya memastikan keperluan ibu bapanya mencukupi.

Dia yang hanya bekerja kampung sentiasa mengambil berat keperluan ibu bapanya dan sentiasa menjenguk mereka yang tinggal di Kampung Joh terletak 10 kilometer dari rumahnya di Kampung Dalam Umor, Batu 23, di sini.

“Ayah dan mak kerap datang ke rumah menaiki teksi jika mahu melihat tiga cucu berusia seminggu sehingga lapan tahun.

“Saya gembira melihat mereka masih kuat dan berdikari walaupun hanya guna kerusi roda.

“Semangat mereka menjadi kekuatan saya dan kasih sayang antara satu sama lain membuatkan saya terharu,” katanya.

“Saya kagum dengan mereka kerana ayah dan mak akan bergerak berdua, tidak pernah berpisah antara satu sama lain.

“Sikap romantik ayah kepada mak jadi panduan saya sebagai ketua keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 7:32 AM