Rawang: “Kami tergamam apabila penjenayah menyerbu masuk ke dalam rumah sebelum mengacukan parang dan pistol ke kepala,” kata mangsa rompakan yang hanya mahu dikenali sebagai Hatta, 70.

Dalam kejadian jam 7.40 petang kelmarin, mangsa bersama isteri, anak dan cucunya diserang mendadak ketika sedang berehat di rumahnya terletak di Bandar Tasik Puteri di sini.

Menurutnya, dua lelaki bersenjata yang menaiki kereta model Toyota Vios tiba-tiba berhenti di hadapan rumahnya sebelum menyerbu masuk.

“Suspek dipercayai warga tempatan dan warga asing itu mengugut kami menyerahkan barang berharga dimiliki.

“Saya dan ahli keluarga tergamam apabila mereka mengacukan pistol ke arah saya dan ahli keluarga. Kami bimbang dicederakan dan hanya mengikut arahan mereka,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Menurutnya, dua penjenayah terbabit kemudian menggeledah rumahnya sebelum melarikan barang kemas, wang ringgit, beberapa barangan berharga lain yang bernilai ribuan ringgit.

“Kami kemudian diarah masuk ke dalam stor dan salah seorang suspek cuba melarikan kereta model BMW milik saya di pekarangan rumah.

“Bagaimanapun anak saya menjerit meminta tolong menyebabkan penjenayah bergegas melarikan diri,” katanya

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis kejadian itu.

Menurutnya, polis sedang memburu kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 8:15 AM