Anggota polis memeriksa   penunggang  motosikal yang melakukan kesalahan dalam operasi khas, kelmarin.
Anggota polis memeriksa penunggang motosikal yang melakukan kesalahan dalam operasi khas, kelmarin.

Alor Setar: Sekumpulan remaja yang menunggang motosikal dalam keadaan laju sebelum dikepung empat penjuru untuk pemeriksaan lanjut nekad menunggang secara melawan arus dan cuba berpatah balik bagi mengelak ditahan dalam operasi khas di Jalan Langgar menghala Jalan Tanjung Bendahara di sini, malam kelmarin.

Tindakan kumpulan remaja itu boleh mengundang kemalangan kerana mereka sanggup melalui celah kenderaan yang berhenti untuk pemeriksaan semata-mata bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Dalam operasi bermula jam 8 hingga 12 tengah malam itu tertumpu di tiga kawasan iaitu Jalan Langgar, Jalan Tanjung Bendahara dan pusat bandar raya ini.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar Deputi Superintendan Mohd Affandi Omar berkata, operasi itu tertumpu pada pemeriksaan motosikal yang dikesan melakukan kesalahan termasuk mengubah suai serta pelbagai kesalahan lain termasuk tidak memperbaharui cukai jalan dan tidak memiliki lesen.

“Setakat ini, polis mengeluarkan 31 saman dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 25 saman terhadap penunggang yang melakukan pelbagai kesalahan.

“Bagaimanapun, sehingga jam 11 malam ini (malam tadi), hanya sebuah motosikal disita dan dibawa ke balai Trafik Kota Setar untuk siasatan lanjut kerana dipercayai diubah suai,” katanya.

Menurutnya, operasi bersepadu itu membabitkan anggota polis dan dibantu 24 anggota sukarelawan polis, 17 anggota JPJ Kedah serta lima kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 7:50 AM