Caliph Buskers berazam  terus menjayakan kerja amal membantu golongan yang memerlukan.
Caliph Buskers berazam terus menjayakan kerja amal membantu golongan yang memerlukan.

Ipoh: Kejayaan kumpulan muzik jalanan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan, Caliph Buskers dalam Anugerah Juara Lagu ke 29 (AJL29) baru-baru ini, ternyata mencetuskan fenomena baru dalam industri seni tanah air.

Bertitik tolak daripada kejayaan yang diraih dalam kategori persembahan terbaik AJL29, vokalis utama, Khairul Azmi Saat, 28, beranggapan populariti mendadak yang dialami sekarang membuka laluan kepada mereka untuk memulakan kerja-kerja amal.

““Kami tidak menjangka penerimaan masyarakat sebegini hebat terhadap pejuang seni seperti kami. Selain dari punca rezeki, kami memperbanyakkan kerja amal bagi membantu rakan buskers terutama yang senasib dengan kami”,” katanya.

Impian dan hasrat Khairul Azmi terbukti apabila kemunculan istimewa Caliph Buskers dalam program basking amal dan doa kesyukuran anjuran Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat bersama Yayasan Bina Upaya (YBU) di kafe Mat Periuk, Bercham, baru-baru ini.

“Aktiviti amal seumpama ini dapat menjalinkan hubungan erat di antara pemuzik jalanan yang lain, selain menaikkan lagi imej buskers.

“Ia membuktikan kepada orang ramai bahawa pemuzik jalanan juga mampu bersama menjayakan program khidmat sosial, ” katanya selepas menghiburkan lebih 500 orang sempena program itu,” katanya.

Program yang dibawa khas Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC) itu mempersembahkan aksi Caliph Buskers melalui lima buah lagu termasuk lagu Roman Cinta.

Khairul Azmi berkata, penerimaan masyarakat yang di luar jangkaan itu menjadi penyuntik semangat bagi meneruskan perjuangan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Unit Hubungan Antarabangsa dan Sukarelawan YBU, Salim Putera Ahmad Shibi berkata, hasil sumbangan melalui orang ramai ini akan disalurkan terus ke akaun YBU bagi membantu kumpulan sasar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 6:20 AM