PENDUDUK Batu Kitang membuat rakit daripada tiub tayar t untuk membantu membawa orang ramai.
PENDUDUK Batu Kitang membuat rakit daripada tiub tayar t untuk membantu membawa orang ramai.
Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Kuching: Hujan lebat berterusan disusuli fenomena air pasang besar menyebabkan mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 3,892 mangsa membabitkan 984 keluarga berbanding 418 mangsa kelmarin.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, jumlah mangsa banjir dijangka terus mencatatkan peningkatan selepas mengambil kira faktor pertembungan hujan lebat sepanjang hari dan air pasang besar sehingga hujung bulan ini.

Beliau berkata, sehingga jam 4 petang semalam bahagian Kuching mencatatkan jumlah tertinggi dengan 2,119 mangsa daripada 534 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

“Ia diikuti Samarahan seramai 717 mangsa daripada 190 keluarga, Limbang seramai 537 mangsa daripada 129 keluarga dan Mukah membabitkan 519 mangsa daripada 131 keluarga.

“Sebanyak 24 pusat pemindahan banjir dibuka di seluruh negeri dengan Kuching mencatatkan jumlah pusat pemindahan tertinggi iaitu sebanyak 16, diikuti enam di Samarahan dan masing-masing satu di Mukah serta Limbang.

“Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk tiga pusat pemindahan yang ditutup pagi tadi apabila banjir dilaporkan mulai surut di kawasan terjejas,” katanya selepas mengikuti taklimat banjir di Pusat Operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan berkata, kerajaan negeri sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca tidak menentu sehingga hujung bulan ini, malah sudah menyediakan keperluan mencukupi bagi menghadapi sebarang situasi kritikal.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sentiasa memastikan operasi pemindahan (mangsa banjir) dan penyaluran bantuan, termasuk bekalan makanan dan keperluan harian disalurkan dengan baik melalui kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta semua agensi berkaitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 8:03 AM