Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Lebih 55 peratus daripada 52,934 kes direkodkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sepanjang 2014 membabitkan kemalangan di tempat kerja.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, jumlah itu bukan saja besar, tetapi membimbangkan.

“Mengikut statistik PERKESO, 29,482 kes kemalangan direkodkan berlaku di tempat kerja. Ia diikuti 23,452 kes kemalangan bagi perjalanan pergi dan balik kerja serta baki 789 lagi membabitkan nahas yang meragut nyawa.

“Ini menunjukkan masih ada jurang perbezaan pengetahuan dan kesedaran risiko serta bahaya di tempat kerja,” katanya ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara TNB Integrated Learning Solution Sdn Bhd (TNB ILSAS) dengan NIOSH dan NIOSH Certification Sdn Bhd di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie berkata, pihaknya sentiasa komited dalam mengutamakan keselamatan dan kesihatan pekerja.

“Warga TNB sentiasa berdepan risiko ketika menjalankan tugas. Oleh itu, kami berusaha tampil dengan pelbagai inisiatif termasuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan keselamatan bagi mencapai tahap pematuhan penuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 8:00 AM