Kuala Lumpur: Persatuan belia di negara ini digesa menyediakan barisan pelapis bagi memastikan kesinambungan kepemimpinan untuk masa depan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, usaha itu sejajar dengan dasar dibentangkan baru-baru ini yang bersetuju dengan penarafan antarabangsa mengenai had umur belia iaitu sehingga 30 tahun saja.

Katanya, aspek kesinambungan sangat penting kerana minat belia di zaman ini berbeza-beza dan kebanyakannya berkumpul tanpa organisasi yang formal.

“Kita sekarang dalam transisi masa kerana pada 2018, had umur belia (30 tahun) akan dilaksanakan sepenuhnya.

“Kerajaan sedar, kini tiba masanya kita ‘meremajakan’ persatuan belia yang ada bagi membolehkan barisan ‘pemimpin pelapis’ disediakan untuk masa depan.

“Justeru, golongan muda seperti graduan umpamanya perlu dilatih untuk menjadi pemimpin pelbagai persatuan di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan ke-63 Majlis Belia Malaysia (MBM) di ibu negara, semalam.

Mesyuarat berkenaan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Khairy, usaha untuk mencari barisan pelapis itu bukan mudah tetapi ia tidak sukar jika dilakukan secara muafakat.

Katanya, pihak kementerian dan MBM sebelum ini turut berganding bahu melaksanakan pelbagai program termasuk Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) dan Parlimen Belia bagi melahirkan bakat kepemimpinan muda.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan antara platform terbaik untuk golongan muda menyuarakan aspirasi dan pandangan masing-masing untuk didengari kerajaan.

“Kita sebelum ini menetapkan garis panduan utama iaitu transformasi daripada fungsi penganjur utama sesuatu acara kepada hanya menjadi pemudah cara bagi membolehkan anak muda menjalankan program mereka sendiri.

“Selain itu, pendekatan media sosial turut digunakan bagi mendekati golongan belia.

“Usaha terbabit diharapkan mampu memahami dan memenangi hati golongan muda di negara ini ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:18 AM