Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak menolak kemungkinan fenomena cuaca sejuk yang pernah berlaku pada tahun lalu boleh berulang dan melanda beberapa negeri di utara.

Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Alui Bahari berkata bagaimanapun fenomena itu tidak semestinya akan berlaku pada tahun ini dalam tempoh sama seperti tahun lalu iaitu penghujung Januari.

“Berdasarkan aliran angin dan keadaan global, udara sejuk dari pergunungan Himalaya dan Siberia tidak menampakkan penyebab kejadian suhu sejuk.

“Fenomena berskala global seperti ini sukar diramalkan memandangkan banyak faktor lain yang mempengaruhi fenomena suhu sejuk ekstrem ini,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau sekiranya fenomena ini tercetus negeri yang akan melalui cuaca sejuk sehingga suhu menjangkau 17 darjah selsius adalah di pedalaman Kelantan, Perlis dan Kedah.

Fenomena cuaca sejuk yang melanda Kuala Krai, Kelantan pada tahun lalu mencatat suhu serendah 17 darjah selsius.

Fenomena cuaca sejuk berpunca daripada pertembungan suhu ketara antara tanah tinggi Siberia-Mongolia dan Laut China Selatan.

Menurut Met Malaysia, tiupan udara bertekanan tinggi Siberia-Mongolia akan membawa cuaca sejuk ke China dan memasuki Laut China Selatan sebelum bergerak ke negara ini.

Pergerakan pola arus udara yang perlahan menyebabkan gelombang sejuk Artik sampai sehingga ke bahagian tengah benua Amerika Utara dan Eropah.

Keadaan ini turut menyebabkan negara seperti Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom mengalami musim sejuk luar biasa.

Kesannya, Malaysia akan mengalami suhu sejuk yang luar biasa dan monsun timur laut menjadi agen pembawa udara sejuk, ketika ini ia dikenali sebagai fasa masa matang gelombang Artik atau ‘Polarvortex’.

Selain angin sejuk kebiasaannya pergerakan angin monsun timur laut itu membawa bersama hujan lebat ke kawasan pantai Semenanjung seperti di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, sekali gus mengakibatkan banjir.

Sementara itu, MetMalaysia menjangkakan hujan monsun berserta angin kencang di Semenanjung akan beransur kurang menjelang hujung minggu ini.

Bermula semalam, dijangkakan hujan monsun berserta angin kencang beransur reda dan lebih tertumpu di kawasan pesisiran pantai serta Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 7:53 AM