KEADAAN banjir di Kampung Chinchang, Sepang.
KEADAAN banjir di Kampung Chinchang, Sepang.
Oleh A’isyah Sukaimi dan Ainul Fatihah Mansor

Sepang: Walaupun hanya tiga jam, tetapi banjir kilat yang melanda Kampung Chinchang di sini, semalam menyebabkan penduduk mengambil langkah berjaga-jaga dan enggan tidur kerana air naik mendadak iaitu sehingga 0.7 meter.

Seorang penduduk, M Mageswary, 39, berkata, kejadian banjir kilat itu menyebabkan dia takut untuk tidur sepanjang malam kerana bimbang air Sungai Chinchang bersebelahan rumahnya akan terus naik.

“Saya takut hendak tidur kerana bimbang air sungai naik mendadak. Banjir kilat hari ini (semalam) adalah yang terburuk kerana air naik sehingga 0.7 meter.

“Air naik kira-kira jam 5.30 petang selepas hujan lebat kira-kira dua jam,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dia yang juga seorang suri rumah berkata, dia dan keluarga tidak berpindah ke pusat pemindahan disediakan kerana rumahnya tidak dimasuki kecuali di pekarangan rumah sahaja.

“Air hanya di luar rumah dan belum lagi masuk ke kediaman kami. Bagaimanapun, kami berjaga-jaga bimbang air naik,” katanya.

Hujan lebat lebih satu jam semalam menyebabkan banjir kilat kira-kira tiga jam di tiga kawasan di daerah ini iaitu Kampung Chinchang, Jalan Sepang-Salak Tinggi dan Taman Desa Indah.

Air mula naik di tiga kawasan berkenaan kira-kira jam 4 petang, menyebabkan penduduk dari Taman Desa Indah dan Kampung Chinchang terpaksa dipindahkan, manakala Jalan Sepang-Salak Tinggi berhampiran ditutup sementara kerana dinaiki air setinggi 0.6 meter.

Kejadian itu menyebabkan 26 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan masing-masing di Balairaya Kampung Chinchang dan Dewan Orang Ramai Taman Indah sebagai langkah berjaga-jaga kerana rumah mereka masih ditenggelami air.

Sementara itu, Ketua Zon Selatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Penguasa Kanan Bomba II Azmi Saadon Azmi Saadon berkata, sehingga jam 9 malam tadi pihak bomba membuka dua pusat pemindahan iaitu di Balairaya Kampung dan Dewan Orang Ramai Kampung Chinchang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 6:49 AM