Kota Bharu: Kerajaan negeri memerlukan sekurang-kurangnya RM52.5 juta untuk membina rumah mampu milik bagi menempatkan 1,500 keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir, baru-baru ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob berkata, kebanyakan kediaman yang musnah terletak di Jajahan Kuala Krai, Gua Musang dan Tanah Merah.

“Kerajaan negeri akan berusaha mendapatkan dana bagi membina rumah bertaraf ‘dhuafat’ yang mempunyai tiga bilik untuk keluarga yang kita kenal pasti tiada tempat tinggal dan kritikal.

“Selain itu, kita juga akan membaiki rumah mangsa banjir yang dibebani dengan kerugian akibat kerosakan rumah yang teruk,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program ‘Gotong-Royong Perdana Pasca Banjir Bandar Kota Bharu’ di sini, semalam.

Pada majlis itu, kira-kira 1,700 sukarelawan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pelbagai agensi termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Majlis Pembandaran Kota Bharu (MPKB) dan Persatuan Kereta Sewa bergotong-royong membersihkan sekitar bandar ini yang dicemari kesan banjir.

Ahmad berkata, semalam, kerajaan negeri menerima 224 khemah yang akan ditempatkan di bandar utama di Gua Musang melalui kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 6:38 AM