Alor Gajah: Akibat mengelak babi hutan melintas, seorang lelaki parah tersepit apabila kereta dipandu anaknya terjunam ke dalam parit dalam kejadian di Pulau Sebang, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi, mangsa, Ngui Ong, 56, parah dan dikeluarkan pasukan anggota bomba dan penyelamat.

Difahamkan, kereta Perodua Alza itu dipandu anak mangsa, Ngui Shuan Wei, 30, dalam perjalanan dari Machap Baru menghala ke Tampin, Negeri Sembilan atas urusan kerja.

Menurut sumber, difahamkan Wei terkejut selepas melihat beberapa babi hutan melintas jalan setibanya di tempat kejadian lalu menekan brek menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas.

“Kenderaan itu meluncur ke kiri jalan dan terjunam ke dalam parit sedalam dua meter sebelum merempuh batu besar.

“Rempuhan itu mengakibatkan Ong yang duduk di sebelah pemandu tersepit akibat dihimpit papan pemuka dan mengalami patah kaki serta tangan kiri selain cedera di anggota badan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, Wei yang cedera ringan keluar dari kenderaan dan cuba membantu bapanya yang tersepit sebelum orang ramai tiba menghulurkan bantuan dan menghubungi pasukan penyelamat.

“Mangsa dikeluarkan pasukan bomba dalam masa beberapa minit dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah Pegawai Bomba Kanan II Dzuklkarnain Abdul Halim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian jam 6.38 pagi.

“Bertindak atas maklumat, pasukan anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian bersama jentera dan setibanya di tempat kejadian didapati seorang lelaki tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.

“Kami menggunakan peralatan khas dan mengeluarkan mangsa dalam tempoh 10 minit,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:17 AM