NAJIB berbual dengan Che Yan.
NAJIB berbual dengan Che Yan.

Kampung Gajah: “Saya lega dan gembira apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudi melawat kami di pusat pemindahan ini. Sebelum ini, saya hanya melihat gambar dan menonton beliau di televisyen sahaja,” kata Che Yan Abdul Rahman, 70.

Che Yan antara 1,023 mangsa banjir yang ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak dekat sini berasa bertuah kerana menerima kunjungan Perdana Menteri semalam.

Dia yang hanya duduk di atas katil menghidapi penyakit kencing manis dan angin ahmar bersyukur kerana diberi layanan baik selepas berdepan banjir di daerah Perak Tengah itu.

Menurutnya, dia yang tinggal di Kampung Baru di sini, ditempatkan di pusat pemindahan itu sejak 24 Disember lalu ditemani suami dan seorang anak perempuannya.

“Saya bersyukur kerana diberikan pelbagai kemudahan dan sangat selesa. Ketika ini paras air di rumah sehingga satu kaki (0.3 meter),” katanya ketika ditemui di Dewan MRSM di sini semalam.

Seramai 1,023 mangsa dari 267 keluarga ditempatkan di MRSM Pasir Salak sejak 24 Disember lalu.

Seorang pesakit gout,Mohd Hussin Mat Sari, 56, pula berkata, dia berdepan kepayahan apabila ditempatkan di pusat pemindahan itu kerana memerlukan bantuan anggota sukarelawan untuk pergi ke tandas.

Menurutnya, dia yang menetap di Kampung Pasir Garam di sini terpaksa berpindah ke pusat pemindahan berkata ia adalah kejadian banjir paling teruk pernah melanda kampungnya sejak lebih 40 tahun lalu.

“Ketika berpindah rumah saya sudah hampir setengah meter menyebabkan saya terpaksa berpindah dengan segera,” katanya yang turut gembira kerana menerima kunjungan pemimpin nombor satu negara di pusat pemindahan itu.

Perdana Menteri meluangkan masa setengah jam bertanyakan khabar dan mendengar rintihan mangsa.

Najib diringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Selain MRSM Pasir Salak, Najib meninjau sekitar pekan Kampung Gajah yang ditenggelami air hampir satu meter serta empat pusat pemindahan banjir di Perak Tengah antaranya Pusat LatihanUniversiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Galah, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Muzaffar Shah Lambor Kanan, Sekolah Kebangsaan Teluk Kepayang Bota Kiri, Parit, dekat sini.

Sebelum meninjau keadaan sekitar pekan Kuala Kangsar menerusi Sungai Perak serta melawat pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Sayong, Kuala Kangsar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 8:17 AM