SEMUA tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, semalam.
SEMUA tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, semalam.
Oleh Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Lima termasuk seorang wanita dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku bersalah memeras ugut seorang lelaki warga Pakistan 3 Disember lalu.

Majistret Norina Maludin menjatuhkan hukuman itu ke atas kelima-lima tertuduh iaitu Nor Razali Daud, 39, Sufanhan Da-Oh, 31, Mohd Nor Johan Md Ali, 31, Mohammad Faizal Daud, 18, serta Siti Zainora Mohamad, 23, selepas kelima-lima mereka mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan.

Mengikut pertuduhan keempat-empat tertuduh lelaki itu didakwa melakukan ketakutan bagi memeras harta milik warga Pakistan Baig Manazar, 30-an, iaitu wang tunai berjumlah RM1,000, telefon pintar jenama Samsung S4 dan kad ATM Public Bank untuk mengeluarkan RM200, manakala Siti Zainora didakwa bersubahat.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Jati, Batu Berendam, di sini, jam 11 malam pada 3 Disember lalu.

Justeru, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, peguam bela Faiezad Razali yang mewakili tiga tertuduh iaitu Nor Razali, Nor Johan dan Mohammad Faizal memohon mahkamah meringankan hukuman terhadap ketiga-tiga tertuduh.

“Ketiga-tiga mereka hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dan pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah. Mereka juga insaf dengan perbuatan yang dilakukan,” kata Faiezad.

Sementara itu, Sufanhan dan Siti Zainora yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah agar hukuman terhadap mereka diringankan dengan alasan sebab kedua-duanya mempunyai dua orang anak.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashraf Abd Hamid memohon kepada mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan juga masyarakat.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Norina kemudian memerintahkan semua tertuduh dipenjara selama sehari bermula semalam dan denda RM2,500, jika gagal menjelaskannya boleh dipenjara selama dua bulan. Semua mereka membayar denda itu.

Dalam pada itu, tertuduh Sufanhan, warga Thailand tidak dibenarkan bebas biarpun membayar denda bersabit kesalahan mengikut Akta Imigresen kerana tinggal lebih masa di negara ini.

Kes mengikut Akta Imigresen itu ditetapkan Norina untuk sebutan semula pada 15 Januari depan dan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:00 AM