Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Kuantan: Jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali meningkat tujuh kali ganda kepada 821 mangsa membabitkan 226 keluarga berbanding 108 mangsa daripada 27 keluarga yang direkodkan jam 8 pagi, semalam

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, Lipis menjadi daerah terbaru dilanda banjir apabila sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merapoh, Kuala Lipis dibuka jam 7 malam yang menempatkan 14 mangsa daripada empat keluarga dari Kampung Sungai Tagang dan Kampung Persik, Merapoh selepas kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak tengah malam kelmarin.

Beliau berkata, di Kuantan, seramai 821 mangsa daripada 222 keluarga ditempatkan di 12 pusat pemindahan.

Menurutnya, PPS di daerah ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang dengan tujuh dari Kampung Kempadang Goh, SMK Pandan (427 orang dari Kampung Chendering dan Taman Bukit Rangin Aman) dan Dewan Orang Ramai Sri Damai (59 orang dari Kampung Sri Damai Jaya Gading).

Dewan Orang Ramai Kampung Semangat (18 orang dari Kampung Semangat), Balai Raya Kampung Chendor (27 orang dari Kampung Chendor Baru) dan SK Cherating (68 orang dari Kampung Bukit Palas), SK Sg Ular (24 dari Kampung Darat Jering).

“Balai Polis Sungai Lembing (80 orang dari Bandar Sungai Lembing), Balai Raya Sungai Soi (14 orang dari Kampung Sungai Soi), Dewan PAKR Panching (54 dari Kg Bukit Batu, Panching, Kampung Atong dan Kampung Panching) dan Wisma Belia Indera Mahkota (38 dari Kampung Baru Chendering, Kampung Sungai Isap dan Kampung Tiram) serta SMK Sungai Rasau (lima orang),” katanya.

Katanya, sehingga jam 8 malam tadi, beberapa laluan masih ditutup kepada semua kenderaan termasuk Kilometer (KM) 16 dan KM 31 Jalan Kuantan-Sungai Lembing, Jalan Bandar Sungai Lembing, Jalan Kampung Nadak Sungai Lembing, Jalan Orang Asli Bukit Bangkong dan Jalan Kampung Air Hitam, Jaya Gading.

Beliau berkata, KM 34 dan Jalan Kuantan-Gambangboleh dilalui kenderaan berat saja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 8:49 AM