Kuala Terengganu: Walaupun hanya 2,500 peluang pekerjaan ditawarkan, tetapi lebih 28,000 belia menyerbu Karnival Jom Mencari Kerja peringkat negeri di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, semalam.

Mereka siap berpakaian kemas hadir untuk mengintai peluang pekerjaan ditawarkan lebih 40 majikan terutama syarikat swasta yang membuka gerai pameran sempena karnival itu.

Walaupun sesi temu duga dan gerai pameran dijadualkan mula dibuka pada jam 10 pagi, tetapi mereka mula menyerbu dewan yang menempatkan lebih 40 gerai pameran seawal jam 8.30 pagi.

Dalam tempoh tiga jam bermula jam 10 pagi, syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan menerima lebih 10,000 permohonan untuk mengisi pelbagai jawatan menyebabkan sesi temu duga terpaksa ditangguhkan selama empat jam.

Penangguhan sesi temu duga dilakukan bagi membolehkan pegawai dan kakitangan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta pihak majikan membuat pemilihan berdasarkan kelayakan, pengalaman dan kemahiran setiap pemohon.

Pengarah JTK negeri Mohamad Azhar Ahmad berkata, mereka yang berjaya pada sesi temuduga itu akan diberikan tawaran untuk mengisi pelbagai jawatan berdasarkan jumlah kekosongan.

“Antara syarikat seperti syarikat kawalan keselamatan memerlukan lebih 1,300 pekerja dengan menawarkan gaji sehingga RM2,000 tidak termasuk pelbagai elaun lain,” katanya yang mewakili Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:09 AM