Perdana Menteri melancarkan buku Garis Panduan Lembaga Pengarah Lantikan Menteri Kewangan.
Perdana Menteri melancarkan buku Garis Panduan Lembaga Pengarah Lantikan Menteri Kewangan.

Putrajaya: Integriti dan kecekapan menjadi dua perkara pokok yang perlu dipegang ahli lembaga pengarah lantikan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) ketika menjalankan tanggungjawab mentadbir urus syarikat terbabit.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, apa saja objektif yang ditentukan kerajaan sama ada untuk meraih pulangan kepada kerajaan, tujuan sosio-ekonomi dan memberi perkhidmatan lebih baik perlu bersandarkan kepada dua perkara ini.

“Dalam soal integriti kita akan terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sebelum pelantikan ahli lembaga pengarah bagi memastikan kepentingan kerajaan dapat diberi perlindungan dan dipelihara sebaik mungkin.

“Bila sudah ada integriti, kena ada kecekapan kerana peranan mereka dalam syarikat MKD harus dilihat sebagai penyumbang buah fikiran atau menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan yang boleh memberi tambah nilai kepada kerajaan dan syarikat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Buku Garis Panduan Lembaga Pengarah Lantikan MKD di Kementerian Kewangan di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan II Datuk Chua Tee Yong, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

MKD adalah syarikat pegangan pelaburan induk Kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab mengawasi dan memantau pelaburan dibuat kerajaan ke atas syarikat milik MKD.

Objektif syarikat MKD adalah menambah nilai kepada pemegang saham yang boleh diukur melalui tahap pencapaian prestasi kewangan dan bukan kewangan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, setiap ahli lembaga pengarah juga perlu bijak membuat keputusan dalam setiap kontrak yang ditandatangani dengan mengimbangi antara risiko dan pulangan bagi melindungi kepentingan kerajaan.

Katanya, ia bagi mengelakkan kontrak yang berat sebelah sama ada kepada kerajaan dan pihak yang mengendalikan kontrak berkenaan.

“Selain itu, ahli lembaga pengarah juga perlu memahami dan menghayati dasar utama negara, seperti kesaksamaan gender, menggalakkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana dan agenda memperkasa Bumiputera dalam bidang ekonomi untuk diterjemahkan dalam syarikat MKD,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, buku panduan itu dikeluarkan berikutan cadangan Jabatan Audit Negara supaya diwujudkan polisi serta peraturan yang jelas mengenai peranan dan tanggungjawab ahli lembaga pengarah, terutama mengenai peranan pegawai kerajaan dalam lembaga pengarah, pembayaran bonus dan pembayaran dividen oleh syarikat MKD.

“Cadangan ini disambut baik Kementerian Kewangan, jadi Buku Garis Panduan kepada Ahli Lembaga Pengarah Lantikan MKD dihasilkan untuk memberi keberkesanan dalam tadbir urus syarikat MKD.

“Buku ini hanya menggariskan panduan yang boleh dirujuk oleh sesiapa, tetapi apa yang lebih penting, mesej tersirat daripada buku ini iaitu bagaimana pegawai kerajaan dan sesiapa dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat MKD menentukan tanggungjawab dalam mentadbir urus syarikat ini dengan baik,” katanya.

Buku Garis Panduan setebal 41 muka surat itu bertujuan membantu pegawai kerajaan yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah MKD melaksanakan tanggungjawab berkesan untuk memastikan tadbir urus syarikat MKD lebih mapan dan berdaya maju.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 8:44 AM