KENDERAAN rosak teruk dibaling bom petrol.
KENDERAAN rosak teruk dibaling bom petrol.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Sebuah kereta Perodua Myvi yang diletakkan di bawah pangsapuri di Taman Fadason, Jinjang di sini, meletup sejurus dibaling dengan bom petrol pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk termasuk kerosakan di bahagian cermin hadapan.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, suspek dipercayai membaling bom petrol itu dari tingkat atas kediaman berkenaan.

Menurutnya, bom petrol itu kemudian terkena di bahagian cermin hadapan kenderaan sebelum meletup dan mengejutkan penduduk yang tinggal di kawasan itu.

“Mujur pemilik kereta itu tidak berada di lokasi kejadian ketika letupan berlaku. Polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian.

“Pemeriksaan awal menemui satu botol kaca berbau petrol. Setakat ini polis percaya ia dilakukan penghuni kediaman itu,” katanya.

Dia berkata, kediaman itu tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) namun polis masih menjalankan siasatan lanjut.

“Motif kejadian masih belum diketahui tambahan pula pemilik wanita kereta itu bekerja di Singapura,” katanya.

Munusamy berkata, pemilik kereta itu tidak pulang ke Malaysia sejak setahun lalu dan kereta itu dijaga adik lelakinya.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil memberi maklumat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 8:31 AM