Kuala Lumpur: Kajian ke atas kanak-kanak di empat negara Asia Tenggara menunjukkan darjah kecerdasan otak (IQ) golongan itu banyak dipengaruhi oleh tahap pengambilan nutrisi.

Kajian Southeast Asian Nutrition Surveys (SEANUTS) mengenai tahap pemakanan kanak-kanak di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam menunjukkan nutrisi yang tidak mencukupi akan menyebabkan prestasi kognitif kanak-kanak rendah.

Dr Alvin Ng Lai Oon dari Jabatan Psikologi Universiti Sunway berkata, kanak-kanak yang tidak mendapat nutrien secukupnya kemungkinan besar tidak mampu belajar secara aktif.

“Mereka juga mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk mendapat skor bawah daripada purata IQ,” kata Dr Lai Oon dalam previu bengkel ‘Tahap Kebijaksanaan-Kebaikan Nutrisi untuk Perkembangan Bijak Si Manja’ yang akan diadakan pada Januari 2015.

Dr Lai Oon yang juga Penyelidik Perkembangan Kognitif untuk kajian Seanuts berkata, hasil kajian di Malaysia menunjukkan ramai kanak-kanak negara ini mengalami kekurangan nutrisi.

“Ia boleh menyebabkan tubuh kurus, kurang berat badan dan ketinggian terbantut. Mereka yang mengalami masalah nutrisi berlebihan mengakibatkan berat badan berlebihan, obes dan terlalu obes,” katanya.

Di antara keempat-empat negara berkenaan, Malaysia bernasib baik kerana berada di tahap terendah untuk kategori kurus, kurang berat badan dan ketinggian terbantut.

Malaysia kini mencatatkan jumlah orang obes paling tinggi di Asia Tenggara.

Kajian ke atas kanak-kanak berusia 6-12 tahun di negara berkenaan menunjukkan pengambilan nutrisi mempengaruhi keupayaan kanak-kanak berfikir, memberi pendapat, memahami, mengingati perkara yang berlaku di persekitaran masing-masing.

Dalam erti kata lain, kanak-kanak belajar dan memperoleh kepintaran dan kecerdikan semasa mental mereka sedang berkembang.

Jelas Dr Lai Oon, khasiat yang betul membantu membina otak, rangsangan daripada ibu bapa dan penjaga membantu memperkembangkan sifat ingin tahu, mahu meneroka, kreativiti dan pembelajaran. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 8:58 AM