Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Pemandu rakyat Singapura direkodkan mencatatkan jumlah saman tertunggak paling tinggi dalam kalangan pengguna jalan raya warga asing di negara ini dari 2000 hingga 2013.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata, pemandu dari negara berkenaan dicatatkan memiliki 313,661 saman tertunggak atau 37.4 peratus daripada jumlah keseluruhan 838,510 saman membabitkan warga asing sepanjang tempoh itu.

Menurutnya, pemandu Brunei mencatatkan jumlah kedua tertinggi saman tertunggak sepanjang tempoh sama iaitu 48,179 saman, diikuti warga Thailand (17,654), Indonesia (2,614) dan lain-lain negara sebanyak 456,402 saman.

“Saya menggesa semua pemandu warga asing yang memiliki saman tertunggak agar menjelaskannya segera sebelum masuk ke negara ini bagi mengelakkan dikenakan tindakan.

“Ia berikutan, cawangan Trafik Polis Diraja Malaysia akan melaksanakan operasi kesan warga negara asing yang masih mempunyai saman dan waran tangkap trafik,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, operasi berkenaan bertujuan mengesan dan menahan pesalah-pesalah trafik tegar yang enggan atau lewat menyelesaikan saman tertunggak khususnya dalam kalangan warga asing.

Selain saman tertunggak, katanya, rakyat Singapura turut mempunyai waran tangkap kedua tertinggi dalam senarai warga asing iaitu 4,621, manakala rakyat Indonesia paling tinggi iaitu sebanyak 6,575, kes.

Ini diikuti Thailand (1,360), Brunei (398), Jepun (125), Taiwan (111), Vietnam (89), Kemboja (61), Filipina (307) dan lain-lain negara (69,098.

“Kita mengalu-alukan kedatangan pelancong asing di negara ini, tetapi tolong hormati undang-undang jalan raya di negara ini,” katanya.

Mohd Fuad berkata PDRM dan Jabatan Imigresen akan mengadakan perbincangan bersama untuk merangka kerjasama mengadakan sekatan di pintu-pintu masuk negara untuk menjejaki individu berkenaan bagi menyelesaikan saman tertunggak.

“Selain itu, kami juga akan cuba menggabungkan sistem kedua-dua jabatan melalui aplikasi e-saman di mana selepas mendapat saman, ia akan disalurkan secara automatik ke sistem Jabatan Imigresen.

“Contohnya, mereka mendapat saman di Kuala Lumpur pada jam 8 pagi dan apabila mahu keluar dari negara di sempadan Johor Bahru, saman berkenaan boleh dikenalpasti dan pesalah trafik itu perlu menjelaskan saman berkenaan sebelum keluar dari negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 8:27 AM