Kota Bharu: Keputusan kerajaan tidak mewajibkan pemaju perumahan mengguna pakai konsep Bina Kemudian Jual (BKJ) bermula tahun depan disifatkan langkah terbaik melindungi pembeli.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kelantan, Datuk Sekarnor Che Omar berkata, meskipun BKJ mampu mengelak masalah projek terbengkalai sekali gus baik untuk pembeli, konsep itu juga boleh membebankan mereka apabila harga rumah selepas siap dinaikkan.

“Lagipun bukan semua pemaju berkemampuan laksana BKJ. Ada masalah lain lagi, antaranya bilangan rumah dibina dikurangkan, harga rumah naik mendadak akibat penawaran dan permintaan yang tidak seimbang.

“Akibatnya pembeli juga tidak dapat membeli rumah idaman mereka kerana bilangan yang dibina dan ditawarkan terlalu sedikit disebabkan ketidakupayaan pemaju lebih-lebih lagi perniagaan bersaiz sederhana.

“Atas sebab itu, kami menyokong keputusan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang tidak berhasrat mewajibkan konsep BKJ ini untuk dilaksana semua pemaju mulai tahun depan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sekarnor berkata, bimbang sekiranya pelaksanaan BKJ tidak memberi pilihan kepada pembeli dan mereka mencari projek perumahan lebih murah namun ditawarkan pemaju tidak berlesen.

“Keadaan itu lebih bahaya kerana meletakkan pembeli dalam risiko,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan tumpuan difokuskan kepada penyediaan rumah mampu milik rakyat berpendapatan sederhana antara RM3,000 hingga RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:10 AM