Kuala Lumpur: “Saya menegaskan bahawa gerakan kesederhanaan yang dibawa kerajaan adalah berdasarkan ajaran Islam seperti yang disabdakan Nabi Muhammad SAW,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri menegaskan, umat Islam negara ini menolak golongan ekstremisme dan liberalisme yang semakin menular kebelakangan ini.

Beliau menegaskan bahawa gerakan kesederhanaan yang dibawa kerajaan tidak berasaskan ajaran liberalisme.

“Gerakan kesederhanaan berdasarkan ajaran Islam seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW, berbuatlah kebaikan sebaiknya dengan ikhlas dan sederhana, ambillah jalan yang lurus dan sederhana di mana engkau akan sampai ke destinasi yang dituju yakni syurga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rakaman audio yang dimuat naik dalam blog peribadinya, NajibRazak.com semalam.

Beliau mengulas tuduhan segelintir individu yang mengaitkan pendekatan kesederhanaan yang dibawa kerajaan dengan ajaran liberalisme.

Perdana Menteri yang memperjuangkan pendekatan tersebut sejak 2010 dalam usaha menangani pelbagai konflik politik dunia termasuk memerangi keganasan.

Usaha berkenaan dipuji antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) baru-baru ini.

Dalam rakaman audio berdurasi 1.35 minit itu, Najib mahu umat Islam hidup sederhana seperti yang diamalkan Baginda.

“Umat Islam perlu mengikut ajaran kesederhanaan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW,” kata beliau lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:07 AM