Kuala Lumpur: Tindakan memalukan dua rakyat Malaysia menyertai Ratu Cantik Pondan Antarabangsa 2014 di Pattaya, Thailand, 7 November lalu dilihat mencemarkan imej Malaysia sebagai negara Islam.

Pendakwah bebas Datuk Hassan Mahmud al-Hafiz berkata, pembabitan dua pondan itu jelas memalukan negara ini yang mengamalkan ajaran Islam dan turut melanggar hukum agama lain.

“Perbuatan dua pondan itu meletakkan Islam dalam keadaan sungguh memalukan.

“Untuk apa memasuki pertandingan sebegitu dengan membawa nama Malaysia, sedangkan ratu cantik wanita pun tidak dibenarkan di negara ini, ini pula ratu cantik pondan, ” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai dua pondan yang mewakili Malaysia dalam pertandingan kecantikan terbesar di dunia yang mempromosikan hak transeksual dipercayai masing-masing berasal dari Sandakan, Sabah dan Marang, Terengganu.

Hassan berkata, masyarakat perlu mengutuk dan tidak menyokong perkara ini sebagai suara bantahan perbuatan tidak bermoral itu.

“Kerajaan perlu bertindak segera dengan melaksanakan undang-undang sedia ada. Jika tiada peruntukan untuk itu, undang-undang baru perlu digubal segera kerana kita tidak mahu ia menjadi penyakit kepada masyarakat dan dibiarkan merebak,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata, tiada undang-undang dapat menghukum mereka atas kesalahan menyertai Pertandingan Ratu Cantik Pondan kerana ia dilakukan di luar negara.

“Peruntukan Enakmen Jenayah Syariah hanya boleh digunapakai jika kesalahan mencemarkan agama dilakukan di sesebuah negeri.

“Di negara ini terdapat 14 enakmen jenayah syariah yang berbeza di setiap negeri, dan mereka (pondan) tidak boleh disabitkan bersalah hanya kerana memakai pakaian wanita seperti diputuskan Mahkamah Rayuan baru-baru ini,” katanya.

Shad Saleem berkata, keputusan Mahkamah Rayuan itu bukan disebabkan menyokong golongan transgender, tetapi berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan persekutuan.

“Seseorang lelaki yang memakai pakaian wanita akibat krisis identiti atau perubahan hormon secara semula jadi tidak boleh diambil tindakan undang-undang jika disertakan dengan bukti perubatan.

“Bagaimanapun, lelaki yang berpakaian wanita dan terbabit dalam kegiatan persundalan boleh diambil tindakan mengikut enakmen jenayah syariah dan kanun keseksaan,” katanya.

Pertandingan itu disertai peserta 19 negara antaranya Filipina, Brazil, Venezuela, Mongolia, Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat.

Menurut laman web itu, peserta dari Venezuela, Isabella Santiago merangkul gelaran juara dan memenangi hadiah wang tunai AS$12,500 (RM41,800) dan pembedahan kosmetik percuma.

Penyertaan dua rakyat Malaysia menghangatkan kontroversi berhubung isu transgender, selepas Mahkamah Rayuan mengisytiharkan peruntukan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang menghalang lelaki Islam berpakaian dan berkelakuan seperti wanita, bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:03 AM