Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjangkakan lebih 1,000 peserta menghadiri Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan 2014 di Dewan Besar Pusat Islam, Johor Bahru, selama dua hari bermula 15 November ini.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha berkata konvensyen itu bertujuan mencari formula penyelesaian kepada permasalahan saudara Muslim termasuk berkaitan hal ehwal pengurusan, kebajikan, ekonomi dan sosial.

“Selain mewujudkan kerjasama dan jaringan maklumat antara pertubuhan bukan kerajaan saudara Muslim dengan agensi kerajaan, ia diharapkan dapat menyediakan platform untuk bertukar pandangan dan keyakinan untuk menjadi da’ie (pendakwah),” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Konvensyen ini adalah kerjasama JAKIM dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor, Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yayasan Taqwa, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Antara pengisian ialah sesi Diskusi Minda Dakwah dan Bicara Agama berkaitan saudara Muslim.

Panel jemputan termasuk Prof Datuk Dr Mohd Yusof Othman dari IWM dan Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin dari Universiti Putra Malaysia (UPM). — BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:12 AM