Kuala Lumpur: Seorang lelaki dipercayai ketua blok sebuah pangsapuri naik hantu apabila bertindak menumbuk seorang pemandu kereta yang meletakkan kenderaan di kawasan parkir miliknya di Taman Melati di sini.

Dalam kejadian jam 8.30 malam kelmarin, mangsa dikatakan berada di dalam kereta sementara menunggu rakannya yang tinggal di pangsapuri itu.

Sumber polis berkata, mangsa yang berusia 40 tahun mendakwa suspek mengetuk tingkap keretanya berulang kali.

Menurutnya, suspek yang berusia 60-an bertanya mengapa mangsa meletakkan kenderaan di parkir miliknya.

“Mangsa yang cuba memberi penjelasan sebaliknya ditumbuk sebanyak dua kali di muka selain dihambur kata-kata kesat.

“Suspek cuba menumbuk mangsa sekali lagi namun dia berjaya lari menyelamatkan diri. Ekoran kejadian itu mangsa terpaksa mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:17 AM